Minggu, 30 Desember 2012

Sejarah komputer

Komputer adalah sebuah mesin pemprosesan data berelektronik yang menerima dan menyimpan data, melakukan operasi aritmetik (pengiraan) dan logik (membuat keputusan) ke atas data dan kemudian mengeluarkan keputusan (maklumat). Komputer memproses data secara automatik (tanpa pertolongan manusia) di bawah arahan program yang tersimpan dalam unit storan utama. Program (aturcara) mengandungi jujukan arahan-arahan yang mengarahkan komputer mengatasi sesuatu masalah dengan menggunakan unit-unit yang ada padanya.
Komputer memainkan peranan yang penting dalam kerjaya dan cara hidup seseorang. Organisasi, tak kira besar atau kecil, mengguna komputer untuk menolong mereka beroperasi dengan lebih berkesan. Ramai individu mengguna komputer di rumah untuk tujuan pendidikan, hiburan dan perniagaan. Komputer mempunyai kesan yang meluas ke atas setiap individu tanpa disedarinya. Pembelian barangan di pasaraya, penggunaan juruwang berautomat (Automatic Teller Machine) atau membuat panggilan telefon jauh kesemuanya memerlukan komputer. Kebolehan mengguna komputer untuk berkomunikasi dengan komputer lain mengubah cara seseorang bekerja dan hidup.
1.3 Apakah Dia Komputer?
Komputer adalah satu peranti elektronik yang dapat menerima data input, memproses data secara aritmetik dan logik, mengeluarkan hasil output, dan menyimpan hasil untuk kegunaan masa depan. Kesemua aktiviti ini dilakukan di bawah kawalan suruhan (instructions) yang disimpan di dalam unit ingatannya (memory unit). Kebanyakan komputer juga berkeupayaan untuk berkomunikasi dengan menghantar dan menerima data kepada komputer lain dan ke Internet. Pembelajaran dan penggunaan tentang komputer dan alat telekomunikasi untuk mencapai, memproses, mengurus, menyimpan, menghantar dan mengguna maklumat dipanggil teknologi maklumat.
1.6 Sejarah Dan Perkembangan Komputer
Sejarah perkembangan komputer boleh dibahagikan kepada dua zaman , iaitu :
a) sebelum tahun 1940
b) selepas tahun 1940
Sebelum tahun 1940

Manusia menggunakan jari untuk mengenali dan membilang nombor satu hingga sepuluh. Selepas itu mereka mula mengenali nombor-nombor yang lebih besar tetapi masih menggunakan digit-digit asas dari 0 hingga 9. Ini mewujudkan sistem nombor perpuluhan. Jari-jari digunakan untuk campur dan tolak nombor. Campur tolak nombor-nombor membantu mereka mengira dalam perniagaan barter. Apabila perniagaan semakin berkembang, jari-jari tidak dapat menampung keperluan pengiraan yang bertambah rumit.

Ahli-ahli perniagaan dari negeri China, Turki dan Yunani menggunakan abakus (sempua) untuk melakukan pengiraan asas campur, tolak dan darab bermula beribu tahun lepas. Abakus mengandungi batu-batu yang dipasang pada beberapa bar. Semua pengiraan dilakukan dengan mengubah kedudukan batu-batu itu.

Pada tahun 1617, John Napier mengemukakan sifir logaritma dan alat dipanggil tulang Napier (Napier's bones). Di samping pengiraan asas campur, tolak, darab dan bahagi, alat ini juga boleh mencari punca kuasa nombor. Tulang Napier diperbuat daripada tulang, kayu, logam dan kad. Pengiraan dilakukan dengan menyilang nombor-nombor pada segiempat dengan tangan.

Blaise Pascal mencipta mesin kira mekanikal pertama pada tahun 1642. Mesin ini beroperasi dengan menggerakkan gear pada roda. Pascal juga telah banyak menyumbang idea dalam bidang matematik dan ilmu kebarangkalian. Mesin kira Pascal telah dimajukan oleh William Leibnitz.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar